fb fb fb fb fb

Sistem DGIM lancarkan pengurusan bencana banjir

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali

PETALING JAYA, 23 November- Pengurusan bencana banjir di seluruh negara pada tahun ini dijangka lebih sistematik dan lancar melalui penggunaan sistem Pengurusan Maklumat Geospatial Pertahanan (DGIM) yang mula digunakan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sistem pengoperasian 'dashboard' bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diguna pakai bagi mengintegrasikan data spatial agensi berkaitan, membabitkan pelaporan bantuan disediakan badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan terjejas.

"Pendekatan kita untuk menggunakan sistem DGIM dan 'dashboard' ini adalah untuk memastikan aspek pengurusan perancangan,kesiapsiagaan bencana ini dilakukan melalui data 'decision making management',"katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas sesi libat urus bersama media dan rakan NADMA di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), NADMA Malaysia.

Armizan memberitahu, selain platform DGIM, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) juga menggunakan Disaster Information Management System (MyDIMS) bagi tujuan penyediaan Laporan Terkini Kejadian Bencana di seluruh Negara.

Tambah beliau, MyDIMS diintergasikan dengan maklumat amaran terkini daripada agensi lain seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE