fb fb fb fb fb

Petani Kelantan terkesan banjir akan diberi bantuan

KOTA BHARU, 23 November - Petani di Kelantan yang mengalami kerugian akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL) akan menerima bantuan bencana daripada Jabatan Pertanian Negeri untuk memulakan semula tanaman mereka.

Pengarahnya, Norbahani Zakaria berkata petani yang berdaftar dengan jabatan tersebut akan menerima bantuan dalam bentuk barangan serta input.

Beliau berkata, petani yang mengalami musibah berkenaan bagaimanapun perlu melaporkan kepada Jabatan Pertanian bagi membolehkan penilaian kerugian dibuat.

Meskipun bukan ganti rugi sepenuhnya diberikan, namun ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban petani yang terjejas bencana.

Bantuan hanya akan diberikan kepada petani yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri.

"Petani yang bertanam berdaftar dengan kita sekiranya mereka menghadapi bencana kita akan daftarkan mereka untuk bagi bantuan bencana kita akan bagi balik dalam bentuk barangan input input dia bukan ganti rugi sepenuhnya tapi dia adalah cara pengiraan itu untuk memulakan semula projek ini," kata Norbahani dalam sidang media selepas mengiringi Pengarah Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja Jabatan Pertanian Malaysia, Mat Iesak Ngathinee merasmikan Seminar Kebuniti Madani, di sini.

Sementara itu, Mat Iesak berkata Program Kebuniti Madani merupakan inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi peruntukan sebanyak RM30 juta.

Katanya, program tersebut dilaksanakan selama empat tahun bermula tahun lalu bagi menggalakkan amalan pertanian dan pengeluaran makanan secara mampan.

TETITIA YUSOFF