fb fb fb fb fb

Sistem audit forensik, kaedah mengesan ketirisan minyak masak bersubsidi - KPDNHEP

(Foto BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 25 Julai- Masalah ketirisan minyak masak bersubsidi ke luar negara akan dapat diatasi dalam masa terdekat melalui audit forensik yang sedang dibuat ke atas syarikat bungkus minyak masak bersubsidi.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, sehingga kini sebanyak 14 syarikat dikenakan tindakan penarikan lesen kerana menyeleweng minyak masak ke negara jiran.

"Kita pertingkatkan lagi penguatkuasaan, intipan dan juga sistem audit di semua syarikat yang telah diberi kebenaran untuk membungkus minyak ini. Jadi dengan sistem audit yang kita buat ini, kita akan dapat lihat di mana kebocoran tersebut dan Insya-Allah akan dapat kita atasi dalam masa terdekat," kata Datuk Rosol menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Tambah Datuk Rosol, kerajaan juga akan menilai peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai syarikat pembungkusan minyak masak bagi mengatasi masalah ketirisan minyak masak bersubsidi ke luar negara.

Sementara itu, sebanyak 100 kes dikesan sepanjang pelaksanaan OPS ATM dan OPS Anti Sorok di seluruh negara sejak 1 Julai sehingga semalam.

Berdasarkan 117 aduan, sebanyak RM2.2 juta nilai rampasan direkodkan melibatkan pemeriksaan minyak masak.

Bagi program Penentuan Harga Maksimum Ayam danTelur Ayam sepanjang tempoh 5 Februari 2022 hingga 24 Julai, sejumlah 1,464 kes dikesan hasil 97, 707 pemeriksaan.

"Kawal selia melalui Dedicated District Retailers (DDR) atau Peruncit Daerah Terpilih, Dedicated District Wholesalers (DDW) atau Pemborong Daerah Terpilih dan Pengilang Terpilih merupakan kaedah yang dilaksanakan oleh bahagian penguat kuasa untuk mengenal pasti kedudukan semasa bekalan barang kawalan di pasaran sama ada berada pada paras normal, berjaga-jaga, gangguan atau krisis.

Kawalseliaan ini dijalankan secara harian di peringkat DDR dan mingguan di peringkat DDM dan DDW bagi melihat trend keberadaan dan pengeluaran barang kawalan dan keperluan di pasaran," tambah Rosol.

Datuk Rosol turut memaklumkan, sehingga pertengahan 2022, sebanyak 1,540 notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan.

Daripada jumlah itu, 48 kes direkodkan melibatkan peniaga dan syarikat yang didapati mencatut penjualan barang.


(Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid)

 

Media Baharu