fb fb fb fb fb

JAKM Kelantan rekodkan kehadiran hampir 80,000 pengunjung

KOTA BHARU, 25 Julai- Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Kelantan yang melabuhkan tirainya secara rasmi malam tadi di sifatkan sangat berjaya dan telah mencapai matlamat penganjuran untuk membawa perkhidmatan kerajaan terus kepada rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM), Tan Sri Annuar Musa, berkata semua kementerian dan agensi terlibat telah berjaya merancang serta mengendalikan reruai masing-masing dengan sangat baik.

Malah jelas beliau, pengisian program jelajah yang menarik merupakan antara faktor kejayaan mendorong kedatangan orang ramai sehingga melebihi sasaran awal iaitu 50,000 orang.

"Yang penting sekarang ini ialah kehadiran daripada rakyat yang melawat dan mendapatkan maklumat serta perkhidmatan daripada kerajaan bagi memenuhi matlamat jelajah itu lebih daripada tercapai, barangkali kerana ini siri keenam masing-masing sudah ada pengalaman, saya tengok persembahan dan program yang mereka bawa lebih menarik dan lebih dekat dengan orang ramai.

"Itu antara faktor yang mendorong lebih ramai kunjungan," kata Annuar.

Mengulas lanjut, beliau yang juga penyelaras JAKM Kelantan berkata kejayaan yang dicapai pada penganjuran kali ini juga diharap dapat memberi semangat kepada tuan rumah pada edisi seterusnya.

"Saya harap ini jadi dorongan pula kepada lokasi seterusnya supaya program yang dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama kerajaan negeri ini akan menyemarakkan satu suasana baharu, terutama sekali bagi tuan rumah yang akan berjalan sepanjang bulan Ogos dan September, bulan kemerdekaan dan juga bulan Hari Malaysia," katanya.

Sementara itu, Sekretariat JAKM Kelantan dalam satu kenyataan memaklumkan, program jelajah yang bermula Jumaat dan berakhir semalam merekodkan kehadiran hampir 80,000 orang pengunjung.

JAKM Kelantan yang bertemakan Keluarga Malaysia Keluarga Digital merupakan lokasi yang keenam bagi siri jelajah tahun ini dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) telah dipertanggungjawabkan sebagai kementerian peneraju.


(MenKOMM, Tan Sri Annuar Musa)

Media Baharu