fb fb fb fb fb

Program Gaya Hidup Sihat Bersama Keluarga himpunkan peserta daripada 25 kampung DUN Mata Ayer

PADANG BESAR, 25 Julai- Bagi memupuk gaya hidup sihat dan semangat kekeluargaan, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer mengambil pendekatan menganjurkan Program Gaya Hidup Sihat Bersama Keluarga.

Program dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri berjaya menghimpunkan lebih 300 peserta terdiri pelbagai lapisan masyarakat dari 25 kampung seluruh Mata Ayer sebagai wadah mengeratkan perpaduan.

Menurut Exco Negeri yang juga ADUN Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya, usaha dilaksanakan ini bagi melahirkan komuniti yang mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan dan membentuk budaya aktif bersukan.

Antara aktiviti sukan diketengahkan termasuk sukan rakyat iaitu tuju selipar dan boling nyiur selain bola jaring dan turut mengetengahkan bakat kanak-kanak menerusi pertandingan mewarna.

Masyarakat disaran untuk terus menyokong sebarang program pembangunan gaya hidup sihat dan cergas yang mampu mengurangkan risiko penyakit.

"Satu program yang begitu memberi faedah dan juga baik untuk diteruskan dan kita boleh libatkan lebih ramai orang.

"Hari ini kapasiti kita melebihi 300 orang, penglibatan setiap keluarga dalam Dun Mata Ayer dan tidak ketinggalan semua kampung terlibat tidak ada satu kampung yang kita tinggalkan, juga penglibatan daripada kawan-kawan kita daripada kaum cina", kata Siti Berenee.

Beliau menyatakannya kepada media pada Program Gaya Hidup Sihat Bersama Keluarga di Perkarangan Pusat Khidmat DUN Mata Ayer.

Bersempena program ini juga, Jabatan Kesihatan Negeri turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan bergerak bagi memudahkan masyarakat setempat menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapat nasihat kesihatan.


(ADUN Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya)

Media Baharu