fb fb fb fb fb

Sisa pepejal di Pahang dijangka meningkat menjelang Aidilfitri

Foto Hiasan

KUANTAN, 4 April - Sisa pepejal isi rumah di Pahang dijangka meningkat lima peratus atau 1,400 tan sehari menjelang Aidilfitri berbanding 1,200 tan sehari pada hari biasa berikutan persiapan orang ramai menyambut perayaan.

Pengarah Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang Sharudin Hamid berkata jangkaan tersebut adalah berdasarkan analisis data tahun sebelumnya yang mendapati trend penjanaan sisa pepejal meningkat antara lima hingga 10 peratus seminggu sebelum raya.

Beliau berkata pada 2022, pembuangan sisa isi rumah di negeri itu pada tempoh seminggu sebelum menjelang Aidilfitri adalah sebanyak 1,175 tan sehari dan meningkat kepada 1,284 tan sehari pada 2023, namun ia mula berkurangan seminggu selepas hari raya.

“Apabila orang sudah bercuti bermula Jumaat atau Sabtu ini, mereka yang dari perantauan akan pulang ke kampung, mengemas rumah untutk menyambut perayaan Aidilfitri dan kita menjangkakan sisa ini meningkat apabila mereka mengemas rumah, membuang barangan tidak terpakai.

“Sisa makanan juga akan meningkat sebab ramai ahli keluarga sudah balik untuk beraya dan berkumpul bersama. Jadi, SWCorp Pahang bersama Alam Flora Sdn Bhd telah mengatur sinergi dan strategi bagi kerja kutipan sisa pepejal menjelangnya hari lebaran dijangka pada 10 April ini,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa SWCorp Pahang malam tadi.

Beliau berkata perubahan sementara kutipan sisa pepejal menerusi Ops Raya Bersama Alam Flora ini melibatkan 10 daerah di 1,342 lokasi di seluruh Pahang bermula 7 April dan kembali seperti seperti biasa pada 11 April bagi daerah Kuantan, Pekan, Rompin, Muadzam Shah, Maran dan Jerantut.

Bagi daerah Bera, Temerloh, Bentong dan Lipis, menurut Sharudin adalah pada 14 April dan perubahan jadual kutipan ini dilaksanakan bagi memastikan tiada limpahan sisa menjelang atau semasa hari raya nanti.

“Perubahan jadual sementara ini bagi memastikan kutipan sisa pepejal isi rumah tetap dilakukan dua kali seminggu sebab ada menyangkakan bila jadual diubah, kutipan akan jadi lewat. Kami beri jaminan kutipan dua kali seminggu tetap dilakukan pada minggu hari raya nanti.

“(Selain itu) sebanyak 3,500 petugas dengan 250 buah jentera kutipan disediakan untuk kerja kutipan sisa pepejal dan pukal. Kami juga mengharapkan supaya pemilik kenderaan meletakkan kenderaan di tempat sewajarnya dan tidak menghalang laluan lori sampah,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 11 unit tong roro juga ditempatkan secara sementara selama lima hari bermula 6 April ini di taman terpilih bagi menampung keperluan janaan sisa dan orang ramai boleh membuat semakan lanjut jadual kutipan terkini di Facebook rasmi SWCorp Pahang.

TETITIA YUSOFF