fb fb fb fb fb

Lebih 200,000 kenderaan dijangka masuk Alor Setar

Datuk Mohd Yusri Md Daud

ALOR SETAR, 4 April- Lebih 200,000 kenderaan dengan jumlah hampir satu juta orang dijangka memasuki Bandaraya Alor Setar semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata selain warga kota pulang untuk berhari raya di kampung halaman, Bandaraya Alor Setar turut menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah kelengkapan Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, Alor Setar juga terletak di tengah laluan dari Selatan ke Perlis.

Keadaan tersebut bakal menyaksikan kesesakan di beberapa kawasan terutamanya di pusat bandar.

"Kesesakan dijangka berlaku di pusat bandar Alor Setar seperti di lampu isyarat Jalan Tanjung Bendahara, Jalan Datuk Kumbar, persimpangan Aman Central, Jalan Gangsa, Pekan Simpang Kuala dan Tandop.
 
"Selain itu, persimpangan Jalan Langgar, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Jalan Tun Razak, persimpangan selepas Plaza Tol Alor Setar Utara, Kota Sarang Semut dan Jalan Kuala Sungai.
 
"Kita akan minta juga bantuan daripada pihak polis trafik untuk membantu bagi memastikan pengguna-pengguna jalan raya selesa dan mematuhi peraturan di jalan raya.

"Kita juga akan aktifkan kita punya warden trafik MBAS (Majlis Bandaraya Alor Setar) dan warden trafik ini akan bantu pihak polis trafik jugaklah untuk memastikan kawalan kenderaan.

"Kita tidak mahu melihat keadaan di Bandaraya Alor Setar tidak terkawal dengan kenderaan yang semakin banyak ini," katanya kepada pemberita di sini.

Tambah Mohd Yusri, bagi memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang musim perayaan ini, beberapa persimpangan juga akan ditutup.
 
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan seperti di tepi-tepi jalan yang boleh menyebabkan kesesakan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM