KUALA LUMPUR, 12 Mei- SIRIM Berhad komited dalam memperkasa pembangunan industri aeroangkasa negara melalui inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan modal insan dan inovasi teknologi tempatan.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Ir Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, inisiatif itu bermatlamat menjana eksport baharu berasaskan kekayaan ilmu dan ekonomi yang diyakini mampu membuka pasaran baharu dan meningkatkan keupayaan Malaysia untuk bersaing di peringkat global.
"Kita perlu tambah nilai dalam sistem sedia ada. Dengan R&D yang mantap, kita boleh menghasilkan teknologi dan produk yang bukan saja memenuhi keperluan tempatan, malah boleh dijual ke peringkat global,” katanya selepas menjadi tetamu program bual bicara Biz Malaysia.
SIRIM juga melatih tenaga kerja berkemahiran tinggi menerusi anak syarikatnya, SIRIM Akademi, dengan jaminan pekerjaan bagi graduan yang mengikuti latihan khusus dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aeroangkasa.
Ini termasuk kerjasama strategik bersama pusat pengembangan pekerjaan dan kemahiran dan institusi pengajian tinggi tempatan bagi memastikan latihan selaras dengan kehendak industri.
Tambahnya, inovasi adalah kunci kepada daya tahan eksport Malaysia dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu. Katanya, Malaysia, kini memiliki keupayaan untuk membangunkan teknologi sendiri yang mampu dijual ke negara lain dan SIRIM bersedia untuk menjadi pemangkin kepada proses itu.
“Kita tidak mahu kekal sebagai negara pengguna atau syarikat perdagangan semata-mata. Kita mahu menghasilkan produk aeroangkasa sendiri, mengikut piawaian antarabangsa, dan pasarkan ke luar negara dengan bangga sebagai produk Malaysia,” katanya.
Malaysia juga dilihat berpotensi menjadi peneraju dalam aeroangkasa menerusi kolaborasi serantau yang lebih luas, bersempena dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.