fb fb fb fb fb

Corak kepimpinan Allahyarham Tun Abdullah dikupas dalam seminar khas

Foto BERNAMA

KEPALA BATAS, 12 Mei - Nilai kepimpinan bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi bakal didalami secara lebih terperinci menerusi penganjuran Seminar Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, inisiatif bertujuan menyelami asas pemikiran negarawan tersebut dari awal penglibatannya dalam perkhidmatan awam hingga ke puncak pentadbiran negara.

"Saya telah mengarahkan Pengerusi MARA agar menganjurkan Seminar Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam tempoh sebulan ini, khusus bagi kumpulan intelektual, sejarawan dan ahli profesional.

"Seminar ini akan memberi fokus kepada mencungkil serta memahami corak pemikiran dan falsafah kepimpinan Allahyarham Tun Abdullah, khususnya semasa beliau berkhidmat sebagai Pegawai PTD, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, seterusnya menyandang jawatan Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Timbalan Perdana Menteri dan akhirnya Perdana Menteri Malaysia." katanya semasa berucap pada Majlis Pemasyhuran MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan anak lelaki Tun Abdullah,Tan Sri Kamaluddin Abdullah.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD