KEPALA BATAS, 12 Mei - Barisan Nasional (BN) akan meneliti cadangan pembentukan gagasan mega atau grand coalition bersama Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan akan dilakukan bagi mencapai kesepakatan antara ketiga-tiga parti.
“Kita akan menyantuni sebarang perbezaan yang wujud dalam pembentukan grand coalition, khususnya bagi memastikan pembahagian kerusi tidak bertindih,” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerjasama antara PH, BN dan GRS dalam PRU DUN Sabah akan datang amat penting bagi menjamin kestabilan politik di peringkat negeri dan nasional.
Menurut beliau, setakat ini kerjasama antara PH Sabah, BN Sabah dan GRS masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.
Manakala kenyataan terdahulu berhubung kesepakatan hanya melibatkan PH dan BN Sabah, tanpa penyertaan rasmi daripada GRS.