SEREMBAN, 12 Mei - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menasihatkan pengguna jalan raya untuk lebih berwaspada ketika melalui jalan Temiang-Pantai.
Pengarahnya Faizal Izham Pikri berkata ini susulan video tular mengenai seekor harimau kumbang yang dikesan melintas melalui jalan tersebut, untuk ke hutan berhampiran.
“Beberapa papan tanda amaran berkenaan laluan haiwan liar sebelum ini telah pun dipasang di kawasan itu. (Mengenai video tular) Unit Harimau Malaya kita akan terus memantau perkara itu.
“Hasil video yang tular itu, kita dapati haiwan tersebut hanya melintas untuk menyeberangi ke hutan sebelah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Terdahulu, tular video berdurasi 11 saat memaparkan harimau kumbang melintas di Jalan Temiang-Pantai. - BERNAMA