SEPANG, 12 Mei - Seramai 915 jemaah haji dijadual berlepas menerusi tiga penerbangan ke Tanah Suci hari ini.
Baki 19,570 jemaah akan dihantar secara berperingkat melalui 60 penerbangan sehingga satu Jun.
Menurut Timbalan Pengarah Operasi Haji Tanah Air Lembaga Tabung Haji, Muhammad Ameen, sehingga kini seramai 12,030 orang jemaah telah pun sampai ke Tanah Suci Mekah dan Madinah.
Bagi memastikan kelancaran perjalanan, beliau menasihati semua jemaah agar melengkapkan dokumen perjalanan dan mematuhi arahan serta jadual yang telah ditetapkan.
“Perkara paling penting bagi bakal jemaah adalah merujuk surat jadual penerbangan dengan teliti kerana ia mengandungi maklumat tarikh, masa dan lokasi melapor diri.
"Pastikan tiada kesilapan. Selain itu, jagalah kesihatan agar urusan perjalanan dan ibadah haji berjalan lancar,” kata Muhammad Ameen.
Dalam pada itu, Pasangan suami isteri, Muhamad Yusak Fatahur dan Zainab Ithin teruja kerana berpeluang menunaikan rukun Islam kelima itu.
"Saya sangat bersyukur, ini kali pertama saya berpeluang menunaikan haji. Permohonan saya dibuat pada 2009, dan tahun ini akhirnya tiba giliran saya." kata Zainab.
Izzah Athirah Mohd Masri pula lega selepas rayuan bersama suami untuk menunaikan haji diterima.
Saya dapat tawaran lebih awal dan alhamdulillah, suami saya berjaya buat rayuan kali ketiga. Dua kali sebelum ini terpaksa tolak sebab waktu itu masih bersekolah, jadi tak dapat pergi bersama,” kongsinya.