LABUAN, 12 Mei - LABUANfm menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya, Sinergi LABUANfm menganjurkan sebuah program berkonsepkan budaya dan komuniti setempat dengan kerjasama Persatuan KadazanDusun (KDCA) Labuan.
Menurut penerbit program, McAllister Michael, selain meraikan sambutan Pesta Keamatan kerjasama tersebut juga bertujuan memperluas pendedahan tentang kepelbagaian etnik, khususnya masyarakat Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) kepada penduduk Labuan.
Katanya, dengan kerjasama ini, pendedahan mengenai kepelbagaian kaum seperti KDMR dapat diperluas kepada masyarakat dan memberi peluang kepada mereka untuk melihat sendiri keunikan setiap budaya.
Dalam pada itu, Pengerusi Penyelaras KDCA Labuan, Gundohing Peter Pikul berkata, program itu juga bertepatan dengan tema sambutan tahun ini iaitu 'Kaamatan Untuk Semua' yang mencerminkan semangat perpaduan dan keterangkuman.
Menurut beliau, platform tersebut mampu mengangkat nilai kekeluargaan, semangat komuniti serta kerjasama antara kaum dalam usaha mempertahankan identiti budaya agar terus dikenali generasi akan datang.
Sementara itu, peserta dari Penampang, Sabah, Lorain Ephrin Chan telah dinobat sebagai johan Pertandingan Unduk Ngadau Wilayah Persekutuan Labuan 2025.
Bagi kategori lelaki, Mohd Aqmal Md Salleh muncul johan manakala Dabey Arthur Ngilo meraih tempat kedua dalam Pertandingan Buvazoi Tavantang Kaamatan (BTK) Wilayah Persekutuan Labuan dan Menumbok 2025.
Kesemua johan akan mewakili Labuan dan Menumbok ke peringkat kebangsaan bagi Pertandingan Unduk Ngadau dan BTK yang dijadual berlangsung hujung Mei ini.