KUCHING 11 September- Singapura berhasrat untuk meningkatkan lagi kerjasama bilateral antara Sarawak dalam perhubungan pelancongan kearah memastikan hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua pihak terus berkembang.
Menteri Tenaga Manusia dan Menteri Kedua Perdagangan dan Industri Singapura, Dr. Tan See Leng berkata selain itu Singapura juga berhasrat untuk meningkatkan kolaborasi import tenaga yang boleh diperbaharui.
"Jelas sekali paling utama adalah mengenai tenaga boleh diperbaharui, kerjasama antara Malaysia dan Singapura. Sudah tentunya, Sarawak, yang diberkati dengan sumber asli serta dilimpahi dari segi tenaga boleh diperbaharui.
"Saya fikir ia adalah salah satu perkara yang akan kita bincangkan dan sudah tentu untuk melihat bagaimana dari segi pelancongan, dan perdagangan antara kedua-dua negara serta bagaimana kita boleh meningkatkan tahap kerjasama itu, " ujarnya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak,Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia sempena dengan lawatan kerja sehari beliau di Kuching.
Dr. Tan turut memberitahu walaupun lawatannya agak singkat namun ia sangat produktif serta membuahkan hasil.
Pada lawatan tersebut, beliau turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Fauzi serta mengadakan pertemuan makan tengah hari bersama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.