fb fb fb fb fb

Sindiket seludup minyak diesel di Terengganu ditumpaskan - KPDN

Foto RTM

KEMAMAN, 7 Oktober- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu berjaya mengagalkan sindiket penyeludupan minyak diesel bernilai lebih RM1 juta.

Ia melalui rampasan dua kapal dan dua lori tangki dengan muatan minyak diesel lebih 27,000 liter di Kemaman, awal pagi tadi.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata rampasan tersebut hasil risikan selama dua minggu, dilakukan 21 pegawai dan anggota KPDN serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dua jeti berasingan dekat Sungai Kuang, Kemaman. 

Modus operandi sindiket terbabit adalah dengan membeli minyak diesel di tengah laut menggunakan kapal tunda. 

Minyak tersebut kemudiannya dipindahkan ke lori tangki untuk dijual semula kepada pembeli di pasaran gelap.

Semasa serbuan, lebih kurang 10,000 liter minyak diesel telah dipindahkan dari kapal ke lori tangki menggunakan paip saluran getah.

Pemeriksaan mendapati kesemua kapal dan lori tangki tidak memiliki sebarang permit atau surat kebenaran sah daripada pengawal bekalan.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.7 juta. Tujuh lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun dan seorang warga Indonesia telah ditahan bagi membantu siasatan. Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961."

"KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua yang berkaitan dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini," kata Saharuddin Mohd Kia kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas meninjau lokasi rampasan di Jeti Sungai Kuang, di sini.

Menurutnya, ia merupakan kes terbesar tahun ini selepas rampasan di lokasi sama pada 9 Julai lalu.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 

Bagi syarikat pula, boleh dikenakan denda maksimum RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM