fb fb fb fb fb

150 ekor ikan hiasan larangan dirampas di Perak

Exco negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun

IPOH, 7 Oktober- Lebih 150 ekor ikan hiasan larangan dirampas dalam operasi pemutihan dan kesedaran ikan larangan melibatkan kedai-kedai akuarium di Perak, sejak 18 September lalu.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata lima jenis spesis ikan dirampas dianggarkan bernilai RM13,000.

Menurutnya, operasi itu bertujuan untuk mengawal sebarang aktiviti berkaitan ikan larangan mengikut Peraturan-peraturan Perikanan (Larangan Import dan sebagainya bagi ikan) (Pindaan) 2024.

"Ikan larangan ditakrifkan sebagai spesis bukan asli yang diklasifikasikan berupaya memberi kesan negatif, bahaya kepada habitat atau ekosistem akuatik."

Selain itu, ia memberikan kesan kemudaratan kepada kesihatan dan kebajikan haiwan termasuk juga nelayan," kata Datuk Mohd Zolkafly kepada pemberita dalam sidang media selepas melakukan pemeriksaan di sebuah kedai akuarium di Ipoh.

Antara spesis ikan dirampas ialah Amazon Redtail, Gulper Catfish, Flower Horn, Alligator Gar dan Arapaima.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM