fb fb fb fb fb

Sindiket PLKS ‘Zakeer’ dan ‘Shaheed’ tumpas

Dua sindiket tersebut menawarkan khidmat permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

PUTRAJAYA, 12 Julai - Dua sindiket yang dikendalikan warga asing dan menawarkan khidmat permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), menerusi dua serbuan berasingan di ibu negara, Khamis lalu.

Sindiket dikenali sebagai ‘Zakeer’ dan ‘Shaheed’ itu dipercayai aktif sejak lebih setahun lalu dengan mensasarkan warga asing di sekitar Lembah Klang untuk meraih keuntungan mudah.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pertama kira-kira pukul 12.05 tengah hari di sebuah pejabat di Jalan Pudu menyaksikan penahanan tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 40 hingga 50 tahun, yang memiliki PLKS sah dalam sektor pembinaan.

Turut disita dalam serbuan itu ialah 130 pasport Bangladesh, tiga pasport Indonesia dan tiga telefon bimbit.

Menurut beliau, sindiket Zakeer dipercayai mengenakan bayaran antara RM2,500 hingga RM6,000 bagi setiap urusan pembaharuan PLKS.

Sementara itu, serbuan kedua dijalankan sekitar pukul 7.09 malam di Ampang Baru, membawa kepada penahanan dua lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga Myanmar yang disyaki anggota sindiket Shaheed.

Hasil semakan mendapati, salah seorang suspek Pakistan memiliki PLKS sektor pembersihan, seorang lagi tinggal melebihi tempoh dibenarkan, manakala suspek Myanmar memiliki kad UNHCR.

Turut dirampas ialah enam pasport pelbagai negara termasuk Pakistan, Vietnam, Myanmar, Bangladesh dan Sri Lanka, 24 pelekat ‘Malaysia Pass (Malpass)’ disyaki palsu, serta lima telefon bimbit.

Sindiket Shaheed dipercayai mengenakan caj antara RM80 hingga RM500 bagi perkhidmatan pengurusan PLKS dan telah beroperasi selama setahun.

Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

TUN JULIA MOHD TAHIR