fb fb fb fb fb

Sultan Ibrahim tegur isu kebersihan dan keselamatan di Jalan Gallagher

Foto Facebook Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 12 Julai - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa dukacita terhadap tahap kebersihan di sekitar Jalan Gallagher, di sini susulan keadaan longkang di kawasan berkenaan tersumbat dan sampah sarap di tepi jalan.

Teguran tersebut dizahirkan ketika Seri Paduka Baginda mencemar duli menyertai aktiviti berjalan kaki sejauh 3.2 kilometer, sambil meninjau sendiri keadaan persekitaran kawasan berkenaan.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi Baginda, Sultan Ibrahim bertitah agar pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera bagi memastikan kebersihan dan keselamatan persekitaran sentiasa terjaga.

"Pembuangan sampah sarap di tepi jalan bukan sahaja menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, malah boleh menjejaskan kesihatan para penghuni di kawasan sekitarnya," titah baginda menerusi hantaran itu.

Seri Paduka turut menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan dahan pokok besar yang menjulur ke atas jalan raya sekali gus disifatkan sebagai ancaman kepada keselamatan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal pada waktu malam.

Turut mengiringi Seri Paduka Baginda dalam aktiviti tersebut ialah Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Azmi Rohani; Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini serta beberapa kakitangan Istana Negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI