fb fb fb fb fb

Timor-Leste sertai ASEAN, perkukuh kerjasama serantau

Foto Facebook Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 26 Oktober -Penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN bukan sahaja memperkukuh ikatan kekeluargaan dalam blok serantau itu, malah membuka peluang baharu dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk ekonomi, pelaburan, pendidikan dan transformasi digital.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau berpeluang mendengar ucapan Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao, yang menzahirkan tekad negaranya untuk berdikari sambil memperkukuh blok ASEAN.

"Ucapan beliau mencerminkan semangat sejati perpaduan dan kesepaduan Asia Tenggara yang menjadi nadi kepada ASEAN sejak penubuhannya," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, beliau melihat potensi besar dalam semangat rakyat serta kepimpinan Timor-Leste untuk maju seiring bersama negara-negara serantau lain.

"Tahniah juga kepada Malaysia sebagai tuan rumah dan Pengerusi ASEAN 2025, yang menjadi saksi kepada satu lagi detik bermakna dalam perjalanan serantau kita.

Together we move forward as One ASEAN Family," katanya.

TETITIA YUSOFF