BATU PAHAT, 26 Oktober - Tiga strategi utama dicadangkan Kerajaan Johor bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian, sekali gus memperkukuh kerterjaminan makanan negara.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, strategi berkenaan merangkumi penggunaan teknologi terkini, pertanian pintar (smart farming) dan vertical farming serta menubuhkan kumpulan pakar berstatus “think tank” dalam kadar segera.
"Jadi saya merayu kepada semua untuk bersama-sama kita memastikan keterjaminan makanan di Johor dan sama-sama bersatu hati, bergerak sebagai satu pasukan untuk memastikan Johor terus menjadi penyumbang utama kepada sektor terjaminan makanan negara ini", katanya.
Sementara itu, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, penubuhan “think thank” berkenaan bertujuan mendapatkan pandangan pihak lain selain Jabatan Pertanian negeri.
"Kita selama ini mungkin hanya melihat pandangan dari sudut pihak jabatan, hari ni kita hendak melihat dari pelbagai pihak termasuk GLC dan mereka yang terlibat dengan pertanian di pihak lapangan, jadi ini antara usaha kita", katanya semasa perasmian Karnival Agro Johor 2025 di Padang Kawad UTHM di sini, hari ini.
Peningkatan pengeluaran melebihi satu tan metrik untuk buahan, sayuran dan perikanan akuakultur disasarkan menjelang 2027, sekali gus menjadikan Johor sekali lagi menjadi penyumbang utama dalam sektor pertanian.