fb fb fb fb fb

Thailand bebas 18 anggota tentera Kemboja

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Oktober -Thailand akan membebaskan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan sebagai sebahagian daripada perjanjian damai yang dimeterai antara kedua-dua negara jiran itu.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, pengisytiharan itu sekali gus menandakan tekad kedua-dua negara dalam usaha memulihkan kestabilan dan kepercayaan di sepanjang sempadan bersama mereka.

"Thailand komited kepada keamanan. Deklarasi ini mencerminkan kesediaan kami untuk menyelesaikan perbezaan secara aman dengan menghormati kedaulatan dan integriti wilayah. Selepas menandatangani deklarasi ini, kedua-dua pihak akan segera melaksanakan semua perkara yang dipersetujui, termasuk pengunduran senjata berat di kawasan sempadan bagi menjamin keselamatan rakyat dan membina kepercayaan. Thailand juga akan memulakan proses pembebasan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan," katanya ketika berucap pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Jelas beliau, keamanan sejati yang bermaruah dapat dijamin, sekirannya pelaksanaan itu dilakukan dengan ikhlas dan menyeluruh.

Anutin Charnvirakul turut mengumumkan perjanjian perdagangan dua hala Amerika Syarikat-Thailand serta memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam sektor mineral kritikal.

Ini sekali gus dijangka dapat memperkukuh rantaian bekalan mampan bagi masa depan.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Sementara itu, Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow memaklumkan, proses pembebasan 18 askar Kemboja itu akan bermula sebaik sahaja angkatan tentera kedua-dua negara memulakan penarikan senjata masing-masing.

"Panglima-panglima tentera wilayah bagi kedua-dua negara telah bertemu untuk membincangkan penarikan balik senjata mereka. Saya rasa apabila proses penarikan balik itu bermula, maka proses bagi pihak Thailand untuk membebaskan 18 askar yang kami tahan juga akan dimulakan. Namun begitu, kami perlu menjalankan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu. Kami mahu Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) hadir dan menyaksikan proses ini," katanya.

Tambah Sihasak, semua proses ini akan dipantau rapi oleh Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) bagi memastikan ketelusan sepanjang pelaksanaannya.

TETITIA YUSOFF