fb fb fb fb fb

Banjir: sebahagian besar kawasan di Larut Matang kembali pulih

Foto RTM

TAIPING, 26 Oktober - Sebahagian besar kawasan di Larut Matang Selama kini kembali pulih selepas dilanda banjir susulan hujan lebat sejak Jumaat lalu.

Paras air yang semakin surut membolehkan penduduk terjejas pulang ke rumah masing-masing untuk membersihkan kediaman yang terkesan.

Penduduk terjejas, Mardiana Abd Rashid berkata, banjir kali ini boleh disifatkan kejadian paling teruk yang berlaku dalam tempoh sebulan.

"Masa tu air macam cecah paras atas lutut, tapi kali ni sampai pinggang, habis rosak semua katil tilam semua perlu buang", katanya.

Bagi Mohd Fadullah Mansoor pula, banyak barang keperluan tidak dapat diselamatkan berikutan air yang naik mendadak.

"Hujan berlanjutan sampai pukul 9 tu, air yang naik hampir ke buku lali dan lepas pukul 10, air sampai paras paha, jadi kami tidak sempat untuk mengeluarkan barang-barang sebab air naik terlampau cepat sangat", katanya.

Sementara itu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Dew ditutup sepenuhnya pada pukul 2 petang tadi selepas semua penduduk terjejas pulang ke rumah masing-masing.

Secara keseluruhan, jumlah penduduk terjejas banjir di Perak menunjukkan sedikit penurunan dengan 2495 orang daripada 836 keluarga masih ditempatkan di 28 PPS di seluruh negeri setakat pukul 3 petang.

Dalam pada itu, lima daerah kekal terjejas akibat banjir iaitu Larut Matang Selama, Kerian, Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak.

Trainee