fb fb fb fb fb

Isu upah jahit pakaian seragam: PDRM pastikan proses bayaran dipercepat

GAMBAR HIASAN/RTM

KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa isu tuntutan bayaran upah jahit pakaian seragam pegawai dan anggotanya sedang diselesaikan mengikut tatacara kewangan serta proses ditetapkan kerajaan.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) PDRM, CP Gilbert Andrew Philip Layang berkata pihaknya maklum terhadap keresahan warga pasukan susulan isu berkenaan yang tular di media sosial.

Menurutnya, JLOG bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi pusat berkaitan telah mengambil langkah mempercepatkan proses pembayaran tersebut.

“PDRM amat memahami kepentingan kebajikan warga pasukan dan usaha penyelarasan sedang giat dijalankan agar semua tuntutan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, isu itu tidak menjejaskan tahap kesiapsiagaan serta tanggungjawab utama PDRM dalam memastikan keselamatan negara, khususnya menjelang penganjuran pelbagai acara antarabangsa sepanjang 2025.

PDRM turut menyeru semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada proses pentadbiran yang sedang berjalan bagi memastikan setiap tuntutan diproses secara teratur dan efisien.

PDRM turut menegaskan komitmennya untuk terus menjaga kebajikan pegawai dan anggotanya selaras dengan prinsip kesejahteraan perkhidmatan awam serta semangat Malaysia Madani.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD