KULIM, 26 Oktober -Beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kedah ditutup selepas keadaan banjir di negeri itu semakin pulih.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kedah dalam
kenyataan memaklumkan, semua PPS di daerah Baling telah ditutup sepenuhnya selepas air surut dan keadaan kembali terkawal.
Hingga pukul 4.00 petang tadi, seramai 1,335 penduduk daripada 381 keluarga masih berlindung di sembilan PPS di lima daerah di negeri berkenaan.
"Daripada jumlah itu, daerah Kulim mencatat jumlah tertinggi dengan 890 penduduk daripada 252 keluarga ditempatkan di lima PPS, manakala empat PPS lagi telah ditutup sepenuhnya.
"Di Padang Terap menempatkan 19 penduduk daripada tujuh keluarga di sebuah PPS. Manakala di Pokok Sena, menempatkan 124 penduduk daripada 11 keluarga dengan satu PPS masih dibuka," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, di Pendang, 279 penduduk daripada 74 keluarga masih ditempatkan di Dewan Kompleks Sukan Tanah Merah, manakala di Kubang Pasu, 23 penduduk daripada 11 keluarga berlindung di SMK Changlun.