KUBANG PASU, 26 Oktober - Polis Kedah memberi amaran kepada orang ramai khususnya penduduk di kawasan sempadan Malaysia-Thailand agar tidak menjadi tali barut kepada sindiket penyeludupan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati bersekongkol dengan sindiket tersebut.
Beliau berkata, polis dengan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan berkaitan telah memperketat kawalan serta rondaan di sepanjang kawasan sempadan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
Selain itu, pemeriksaan terperinci dan sekatan jalan raya turut dipertingkat di pintu masuk dan keluar sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam serta Durian Burung, Padang Terap.
“Kita takkan berkompromi, tak ada alasan… seperti kes tangkapan dadah sebelum ini, ada yang guna teksi motor untuk seludup dadah. Matlamat tidak menghalalkan cara.
Saya nasihatkan penduduk di sekitar sempadan supaya bekerjasama dengan pihak polis dan salurkan maklumat kepada kami. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan dan keselamatan mereka dijamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan sindiket penyeludupan menjadikan negeri-negeri utara, termasuk Kedah, sebagai laluan alternatif selepas tindakan Polis Kelantan merobohkan jeti haram di sepanjang Sungai Golok baru-baru ini.
Terdahulu, Datuk Adzli merasmikan Majlis Penyerahan Kenderaan Lucut Hak di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, Kubang Pasu.
Sebanyak dua kereta dan 14 motosikal yang telah dilucuthak selepas selesai proses mahkamah diserahkan kepada SMK Hosba, SMK Parit Panjang (Baling) dan Giat MARA Pendang untuk digunakan bagi tujuan pendidikan dan latihan.
Kenderaan itu merupakan hasil sitaan Bahagian Pelucuthakan Harta, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah antara tahun 2004 hingga 2022 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.