KUBANG PASU, 26 Oktober - Polis Kedah menerima sebanyak 1,291 laporan berkaitan kejadian banjir yang melanda tiga daerah di negeri itu setakat ini.
Jumlah tersebut dijangka meningkat dari semasa ke semasa susulan keadaan banjir yang masih teruk di beberapa kawasan di Kulim, Baling dan Pokok Sena.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya turut membuka kaunter laporan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi memudahkan penduduk terjejas membuat laporan tanpa perlu ke balai polis berhampiran.
Selain itu, pemantauan turut dilakukan bersama agensi dan jabatan berkaitan di kawasan terjejas bagi mencegah aktiviti jenayah termasuk kecurian, namun setakat ini tiada laporan kes kecurian diterima.
“Kita faham ada kebimbangan orang ramai, tapi saya minta beri kepercayaan kepada agensi seperti polis, bomba dan APM.
Kalau diarahkan berpindah, patuhi arahan kerana keselamatan nyawa lebih penting,” katanya.
Datuk Adzli berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kenderaan Lucut Hak di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, Kubang Pasu.
Sebanyak dua kereta dan 14 motosikal yang telah dilucuthak dan selesai proses mahkamah diserahkan kepada SMK Hosba, SMK Parit Panjang (Baling) dan Giat MARA Pendang untuk tujuan pendidikan dan latihan.
Kenderaan berkenaan merupakan hasil sitaan Bahagian Pelucuthakan Harta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Kedah antara tahun 2004 hingga 2022.
Banjir yang melanda Kedah sejak Khamis lalu menyebabkan hampir 2,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke PPS.
