KUALA LUMPUR, 26 Oktober -ASEAN menyokong pelan komprehensif bagi menamatkan konflik di Gaza yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN berkata, pelan itu membuktikan keamanan tetap boleh dicapai meski pun dalam keadaan yang rumit.
"Berhubung dengan Gaza, kami menyambut baik pelan komprehensif anda untuk menamatkan konflik di wilayah itu. Pelan tersebut telah memberi dunia sinar harapan bahawa walaupun dalam konflik yang paling sukar diselesaikan, diplomasi dan keazaman yang teguh tetap mampu membawa hasil.
"Kami yakin bahawa dengan kepimpinan anda, Tuan Presiden, kita akan mencapai keamanan yang adil dan berkekalan," katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat (AS) ke-13 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Tambah beliau, ASEAN dan Amerika Syarikat akan menerima pakai Pernyataan Visi Bersama ASEAN-AS bagi mengukuhkan masa depan yang lebih kukuh, selamat dan makmur untuk kedua-dua rantau.
Menurut Datuk Seri Anwar, nilai dagangan dua hala antara ASEAN dan Amerika Syarikat telah mencapai paras tertinggi tahun lalu dengan jumlah AS$453 bilion dolar.
Ini sekali gus telah menyokong pertumbuhan pekerjaan dan perniagaan di kedua-dua rantau berkenaan.
Jelas beliau, ekonomi yang pesat antara Amerika Syarikat dan Asia Tenggara ini berpotensi mencipta zaman keemasan baharu yang memberi manfaat kepada semua negara.
