fb fb fb fb fb

Pemandu bas dengan kemalangan serius boleh digantung lesen PSV

Anthony Loke pada Majlis Penembusan Terowong Genting Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bentong

BENTONG, 12 Julai – Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan tindakan lebih tegas dengan menggantung lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu bas yang didapati terlibat dalam kemalangan serius, sebagai langkah proaktif meningkatkan keselamatan jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, selain penggantungan lesen, pemandu terlibat juga diwajibkan menjalani kursus semula atau refresher course sebelum dibenarkan kembali memandu.

"JPJ akan menggantung lesen PSV pemandu yang terlibat dalam kemalangan serius, selain mewajibkan mereka menjalani kursus semula bagi mendidik dan melatih semula sebelum dibenarkan kembali memandu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penembusan Terowong Genting Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini.

Menurut Anthony Loke tindakan itu bukan bersifat automatik, sebaliknya hanya dilaksanakan selepas siasatan mendapati pemandu berkenaan benar-benar memandu secara cuai atau melakukan kesalahan serius.

Langkah baharu itu juga dijangka mempercepat proses disiplin, berbanding sebelum ini susulan tindakan penggantungan lesen hanya boleh dilakukan selepas pemandu disabitkan kesalahan di mahkamah hingga menyebabkan proses tersebut mengambil masa yang lama.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI