fb fb fb fb fb

ASEAN kukuh kerjasama luar menerusi pendekatan strategik baharu

ASEAN beri keutamaan kepada hasil kerjasama yang bersifat praktikal dan strategik.

KUALA LUMPUR, 12 Julai - Menteri-menteri Luar ASEAN bersetuju memperkukuh hubungan dengan rakan luar menerusi pendekatan strategik, dan penilaian semula terhadap semua bentuk kerjasama sedia ada.

Dalam kenyataan bersama selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58, ASEAN menegaskan semula peranan penting mesyuarat tersebut dalam menyelaras dasar luar blok serantau dan memelihara prinsip Kepusatan ASEAN.

Mesyuarat turut merujuk kepada keputusan pada 2021 untuk menilai semula moratorium terhadap kemasukan Rakan Dialog baharu, selaras dengan pembangunan Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025.

Kenyataan itu juga memaklumkan, ASEAN akan memberi keutamaan kepada hasil kerjasama yang bersifat praktikal dan strategik, berbanding hanya fokus terhadap bilangan aktiviti.

Semua bentuk penglibatan luar baharu juga perlu menyokong matlamat “ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama” serta tidak bercanggah dengan prinsip Piagam ASEAN dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

TUN JULIA MOHD TAHIR