BENTONG, 12 Julai – Malaysia hari ini mencatat sejarah baharu apabila berjaya melaksanakan penembusan Terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Bentong, Pahang, menjadikannya terowong rel terpanjang di Asia Tenggara sebaik sahaja siap sepenuhnya.
Penembusan itu turut menandakan kejayaan menyiapkan kerja-kerja pengorekan kesemua 41 terowong sepanjang jajaran ECRL sejauh 665 kilometer yang bakal menghubungkan Kota Bharu, Kelantan hingga ke Pelabuhan Klang, Selangor.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kejayaan itu bukan sahaja membuktikan keupayaan teknologi dan kejuruteraan tempatan serta antarabangsa, malah memastikan operasi ECRL dapat kekal beroperasi walaupun ketika musim tengkujuh.
"Dengan pembinaan terowong dan laluan bertingkat di lokasi strategik, reka bentuk geometri randasan ECRL membolehkan tren penumpang mencapai kelajuan sehingga 160 kilometer sejam.
"Manakala tren gagul pula mampu bergerak pada kelajuan 80 kilometer sejam. Kejuruteraan ini juga memastikan operasi ECRL kekal lancar walaupun ketika hujan lebat dan banjir pada musim tengkujuh, khususnya di kawasan Pantai Timur," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penembusan Terowong Genting Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini.
Anthony Loke turut memaklumkan penggunaan teknologi Tunnel Boring Machine (TBM) gergasi seberat 1,600 tan yang direka khas untuk keadaan batuan keras Banjaran Titiwangsa, menjadikannya antara terbesar pernah digunakan bagi pembinaan terowong rel di Malaysia.
Projek mega itu juga menyaksikan kawasan hutan yang diteroka berjaya dikurangkan daripada anggaran asal 2,000 hektar kepada sekitar 276 hektar sahaja.
Apabila siap sepenuhnya dan dijangka beroperasi pada Januari 2027, ECRL dijangka memendekkan masa perjalanan antara Kota Bharu dan Kuala Lumpur kira-kira empat jam sahaja.
Ia sekali gus menjadi pemangkin transformasi sosioekonomi Pantai Timur.