KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menyeru agar Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menumpukan usaha keamanan dengan lebih menyeluruh termasuk di Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa komitmen itu perlu konsisten dan diperteguh turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha Presiden Trump dalam menggerakkan pelan damai antaranya di wilayah itu.
"Saya benar-benar gembira apabila mendengar sendiri daripada Presiden Trump tentang ketegasan dan tekad yang tinggi untuk memastikan keamanan dapat dicapai di kawasan yang paling sukar dan hampir mustahil. Namun anda berjaya melakukannya.
"Kami menzahirkan sokongan penuh dan menyeru Amerika Syarikat agar meneruskan usaha ini dengan sokongan banyak pihak bukan sahaja negara jiran, tetapi juga masyarakat antarabangsa," Datuk Seri Anwar menyatakannya pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand, di sini.
Perjanjian damai itu ditandatangani Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Manet di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, hari ini.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio, wakil Perdagangan Presiden Jameson Greer serta Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D. Kagan atas peranan penting mereka dalam memastikan kehadiran Presiden Trump ke Malaysia.