JOHOR BAHRU, 26 Oktober – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memanfaatkan penyertaan Malaysia dalam Harbin Expo 2026 di China sebagai platform untuk memasarkan produk kampung ke peringkat antarabangsa, sekali gus merancakkan ekonomi tempatan khususnya dalam kalangan pengusaha kecil dan sederhana (PKS).
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata pemasaran produk kampung akan dibuat dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO), menerusi Pavilion Malaysia di ekspo berkenaan.
"Malaysia telah dipilih oleh China sebagai Negara Terhormat pada Harbin Expo 2026. Harbin Expo merupakan antara ekspo terbesar di China dan pada penganjuran Mei lalu berjaya mencatat nilai dagangan sebanyak RM200 bilion."
Selain itu, KPKT dan NGO terlibat juga akan membantu usahawan kampung memperoleh Sijil Kampung Good dan Sijil Halal, bagi meningkatkan nilai promosi serta kebolehpasaran produk tempatan.
Para usahawan juga akan mengikuti latihan selama tiga bulan di Kampung Baru Expo, yang merangkumi modul latihan pemasaran, jualan dalam talian dan pembungkusan produk, bagi memperkukuh kemahiran mereka menghadapi pasaran global.