KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Malaysia akan terus memperkukuh hubungan antara sektor industri dengan pendidikan melalui pelbagai dasar serta reformasi baharu yang bersifat menyeluruh dan inklusif.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata langkah itu penting bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal relevan dan berdaya saing dalam memenuhi keperluan masa hadapan.
Menurutnya, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk semakan semula peranan politeknik, penambahbaikan kurikulum universiti serta pelaksanaan program mikro-kredensial (micro-credential).
“Ini adalah bidang yang sangat penting dan perlu ditangani secara bersama kerana tidak boleh dilihat secara terpisah antara industri, kementerian dan dasar sedia ada.
“Kita sedang berusaha mewujudkan dasar yang lebih komprehensif dan inklusif. Malah, kita telah memulakan reformasi pendidikan tinggi dengan merangka dasar baharu untuk tempoh 2025 hingga 2035, termasuk penilaian semula terhadap peranan politeknik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi dialog bersama pemain industri di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di ibu negara hari ini.
Dalam sesi itu, Datuk Seri Dr Zambry turut menekankan kepentingan beberapa sektor utama dalam pasaran pekerjaan, termasuk ekonomi digital, semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).
Jelasnya, kerjasama erat antara sektor pendidikan dengan industri akan membantu membina sistem pendidikan yang lebih inklusif serta selaras dengan keperluan tenaga kerja masa depan, sekali gus memperkukuh daya saing Malaysia dan rantau ASEAN.