fb fb fb fb fb

Perjanjian Damai KL jadi pemangkin pengukuhan hubungan Thailand–Kemboja

Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Oktober -Perjanjian Damai KL atau KL Peace Accord yang dimeterai antara Thailand dan Kemboja sebagai satu pencapaian yang signifikan ke arah penyelesaian perbezaan dan pengukuhan hubungan antara kedua-dua negara itu.

Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow berkata, deklarasi bersama itu amat penting kerana ia menggariskan hala tuju ke arah keamanan.

"Deklarasi bersama itu mencerminkan hasrat kedua-dua negara, Thailand dan Kemboja untuk menyelesaikan perbezaan secara aman. Ia sejajar dengan pendirian lama Thailand yang sentiasa mencari penyelesaian damai dalam hubungan antara kedua-dua negara melalui mekanisme dan perbincangan dua hala.

"Deklarasi bersama ini juga, saya kira, merupakan satu pencapaian penting yang menggariskan hala tuju ke arah keamanan. Ia turut merangkumi isu-isu utama yang masih belum diselesaikan antara kedua-dua negara, seperti usaha meredakan ketegangan di sempadan, penarikan balik senjata berat, keperluan menjalankan aktiviti nyah periuk api, serta kepentingan menangani kegiatan haram terutamanya operasi penipuan di kawasan sempadan dan isu pencerobohan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

"Kami juga percaya bahawa apa yang telah dipersetujui ini menunjukkan keikhlasan dan komitmen Kemboja untuk bersama Thailand dalam usaha mencapai keamanan dan memperkukuh kerjasama," katanya beliau bercakap kepada media selepas Majlis Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Thailand dan Kemboja menghadapi konflik berhubung sempadan sepanjang 817 kilometer, dengan ketegangan terbaharu pada 24 Julai lalu membawa kepada pertembungan ketenteraan.

Pada 28 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menganjurkan mesyuarat berprofil tinggi di Putrajaya antara Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand ketika itu, Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

Gencatan senjata itu, yang dilihat sebagai satu pencapaian besar ASEAN, berjaya mengelakkan peningkatan konflik ketenteraan serta memastikan keselamatan rakyat.

TETITIA YUSOFF