KUALA LUMPUR, 26 Oktober - ASEAN terus memperkukuh perdagangan intra-ASEAN menerusi langkah penaiktarafan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).
Ia sekali gus langkah penting ke arah mewujudkan pasaran serantau yang lebih berdaya saing dan inklusif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peluasan ATIGA itu akan memudahkan aliran perdagangan, modal dan pergerakan rakyat yang lebih bebas di seluruh rantau ini.
"Keistimewaan kita pada tahun ini berasaskan tema keterangkuman dan kemampanan. Ia hadir pada saat yang amat penting ketika kita berdepan dengan pelbagai cabaran serantau, ketidaktentuan geopolitik, dan peningkatan pemecahan geoekonomi.
"Kini, kita telah menaik taraf ATIGA, dan ini sememangnya merupakan satu langkah maju yang amat bermakna. Esok, kita akan menganjurkan Sidang Kemuncak Pemimpin Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ke-5 bagi memberikan momentum baharu kepada pelaksanaan inisiatif ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada ucaptama Majlis Penyerahan Protokol Kedua bagi Pindaan ATIGA sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China 3.0 akan ditandatangani pada Selasa ini.
Kerjasama itu dijangka menandakan satu lembaran baharu dalam hubungan kedua-dua pihak, serta menunjukkan komitmen bersama terhadap perdagangan yang adil, transformasi digital, dan tenaga lestari.
Turut hadir Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa dan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva.
