fb fb fb fb fb

Sekolah Angkat MADANI: Penglibatan PERHEBAT dukung usaha perkasa pendidikan

Foto PERHEBAT

KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) komited mendukung usaha memperkasa ekosistem pendidikan negara menerusi pengambilan dua Sekolah Angkat MADANI.

Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Ts. Amir Md. Noor berkata, inisiatif itu selari dengan peranan PERHEBAT sebagai sebuah institusi latihan yang memartabatkan pembangunan sahsiah, kemahiran dan pembangunan kerjaya.

"Ia juga seiring dengan Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035 yang menekankan pembangunan modal insan, kesejahteraan komuniti dan kolaborasi strategik dalam melahirkan masyarakat yang lebih inklusif dan mampan.

“Penglibatan ini cerminan iltizam PERHEBAT dalam memperkasakan pendidikan anak-anak warga tentera dan awam, selaras dengan aspirasi MADANI untuk membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing demi kemajuan negara," jelasnya dalam satu kenyataan.

Selain itu katanya, inisiatif tersebut memberi peluang kepada seluruh ekosistem PERHEBAT untuk berkongsi pengalaman, kepakaran, kepimpinan dan semangat patriotik bersama pelajar sekolah.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kit inovasi dan peralatan sukan serta rekreasi kepada Sekolah Angkat MADANI PERHEBAT, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Riam Batu 2, Kem Sri Miri yang diwakili Guru Besar, Rohani Ismail.

PERHEBAT turut menjadikan SK Desa Pahlawan, Kota Bharu sebagai Sekolah Angkat MADANI.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN