DUNGUN, 26 Oktober -Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas dalam satu kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), di sini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.00 tengahari, mangsa, Muhammad Zakuddin Mohd Zul, 25 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah di bahagian kepala.
Kemalangan berlaku di kilometer 348.4 berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Kuala Dungun.
"Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang berkonvoi pulang ke Marang, Terengganu selepas selesai menghadiri Himpunan Pemilik Motosikal Honda di Cherating, Pahang.
"Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan terjatuh di tengah lebuh raya," katanya ketika dihubungi pemberita.
Kemalangan itu menyebabkan mangsa dan motosikalnya terseret sejauh beberapa meter dan telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat dan urusan selanjutnya.
Kes berkenaan akan disiasat bawah seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.