fb fb fb fb fb

Sindiket Love Scam tumpas di Melaka, empat suspek ditahan

Barang rampasan bernilai RM15,000 termasuk komputer riba, telefon bimbit dan pasport yang digunakan sindiket Love Scam. Foto- RTM

MELAKA, 13 Ogos - Sindiket penipuan atas talian atau Love Scam yang menyasarkan mangsa dari dalam dan luar negara berjaya ditumpaskan dalam serbuan di tiga kondominium di Klebang, semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan oleh Bahagian Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka Tengah itu menahan empat individu termasuk tiga warga Nigeria dan seorang wanita warga Indonesia.

Menurutnya, pihak polis turut merampas barangan bernilai RM15,000 termasuk dua komputer riba, lapan telefon bimbit, enam pasport dan satu pemacu pena.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan profil Facebook palsu untuk memperdaya mangsa sehingga bersetuju membuat pindahan wang ke akaun e-dompet milik suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, suspek masuk ke negara ini dengan menyalahgunakan pas pelajar sejak enam bulan lalu.

Kesemua suspek direman sehingga 25 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN