KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Kes remaja hamil yang berdaftar di fasiliti kesihatan kerajaan mencatatkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus kepada 2,752 kes pada tahun 2024 berbanding 2,737 kes tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, statistik terbaharu Kementerian Kesihatan menunjukkan, Sarawak kekal sebagai negeri yang mencatatkan jumlah kes tertinggi bagi kedua-dua tahun tersebut, diikuti Sabah dan Pahang.
"Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia bagi kes remaja hamil yang berdaftar di Fasiliti Kesihatan Kerajaan, sebanyak 2,737 kes remaja hamil dilaporkan pada tahun 2023 dan 2,752 kes bagi tahun 2024, iaitu peningkatan 15 kes (0.5%). Negeri yang mencatatkan jumlah tertinggi pada kedua-dua tahun tersebut adalah Sarawak, diikuti Sabah dan Pahang.
"Sementara itu, data awalan bagi tempoh Januari hingga Mac tahun 2025 merekodkan sebanyak 655 kes remaja hamil bawah usia 18 tahun," katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi mengenai status semasa peningkatan kes kehamilan dalam kalangan kanak-kanak bawah umur 18 tahun di setiap negeri dari 2023 hingga suku pertama 2025.