fb fb fb fb fb

Pas perjalanan tanpa had untuk pengguna Terowong SMART

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meninjau operasi terowong SMART ketika hadir pada Majlis Pelancaran Pas Perjalanan Tol Tanpa Had

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Syarikat konsesi lebuh raya, Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) melancarkan Pas Perjalanan Tol Tanpa Had SMART (MUTP) bersempena Hari Kebangsaan ke-68.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan mengalu-alukan inisiatif pembiayaan swasta inovatif seperti ini yang memberi manfaat terus kepada rakyat.

"MUTP sah selama sebulan bermula 16 Ogos hingga 16 September 2025 dengan bayaran RM68, menawarkan penjimatan sehingga RM64 atau hampir 50% kepada pengguna Tol SMART harian", katanya ketika ditemui media selepas melancarkan MUTP di Kompleks Operasi SMART di sini, hari ini.

Menurut beliau, inisiatif ini merupakan tanda penghargaan kepada pengguna Terowong SMART yang menyokong aspirasi mobiliti bandar lebih cekap, selamat dan mampan, serta menyokong usaha kerajaan membangunkan infrastruktur mesra rakyat.

Pelancaran MUTP turut mencerminkan komitmen ALR dalam meningkatkan keselesaan pemanduan dan memperkukuh peranan lebuh raya SMART sebagai laluan penting ke pusat bandar Kuala Lumpur yang digunakan oleh purata 19 ribu kenderaan setiap hari.

SMART merupakan terowong dwi-fungsi tunggal di dunia yang menggabungkan laluan trafik dan saliran banjir yang berupaya mengurangkan risiko banjir serta membantu menyelesaikan masalah trafik.

MASNIZA AWANG KECHIK