fb fb fb fb fb

Kerajaan pertimbang semula penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi penjelasan mengenai cadangan penubuhan MTSB di Dewan Rakyat. Foto- BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Cadangan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) sebagai badan khas untuk menyiasat kemalangan jalan raya akan dipertimbang semula.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu susulan syor pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kemalangan maut melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan serta kemalangan bas persiaran membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak.

Ketika ini, katanya, kementerian sedang merangka dasar dan meneliti pelbagai aspek sebelum penubuhan MTSB dapat direalisasikan.

“Perkara ini sememangnya sedang dipertimbangkan di peringkat kementerian. Namun, untuk menubuhkan sebuah badan atau agensi baharu bukanlah sesuatu yang mudah. Prosesnya panjang dan melibatkan beberapa peringkat penting.

“Pertama sekali, kita perlu menyediakan Kertas Jemaah Menteri atau Memorandum Jemaah Menteri untuk dibawa semula ke Kabinet bagi mendapatkan kelulusan dasar. Kelulusan ini pula memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak, memandangkan penubuhan sebuah entiti seperti MTSB akan mewujudkan struktur birokrasi baharu, legasi baharu, serta melibatkan pelantikan perjawatan baharu.

“Jadi, ada juga implikasi dari segi kewangan, sumber manusia, dan pengurusan organisasi secara keseluruhan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin berhubung jaminan kerajaan dalam melaksanakan syor pasukan petugas khas, khususnya berkaitan penubuhan MTSB.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN