fb fb fb fb fb

Simulasi persediaan risiko banjir di negeri Selangor, bulan hadapan

SHAH ALAM, 26 Ogos - Simulasi persediaan menghadapi risiko banjir di negeri Selangor dengan penumpuan kepada penambahbaikan operasi mencari dan menyelamat akan diadakan pada bulan hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata simulasi itu akan melibatkan proses pembukaan bilik gerakan dan bilik bantuan.

"Ketika kejadian banjir lepas, operasi mencari dan menyelamat kita sedikit lewat tapi proses lain sangat baik.Jadi sekarang kita belajar daripada pengalaman itu untuk ditambah baik, jika berlaku banjir bagaimana mencari dan menyelamat dilakukan, bagaimana amaran dilaungkan dan sebagainya,” kata Amirudin selepas majlis pecah tanah rumah mampu milik, Rumah Idaman Bukit Jelutong di sini.

(FOTO FAIL)


Mengenai prospek ekonomi global yang dijangka suram pada tahun hadapan, Amirudin berkata kerajaan negeri sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan itu.

"Mesyuarat kerajaan negeri baru-baru ini telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan & Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana negeri Datuk Teng Chang Khim, Perbendaharaan Negeri serta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mewujudkan jawatankuasa bagi menilai kemungkinan berlaku kelembapan ekonomi pada tahun hadapan,” katanya lagi.

Beliau berkata kerajaan negeri akan bersedia dengan merangka langkah yang boleh diambil kerajaan negeri serta mencadangkan penyelesaian tambahan.

"Kita tidak mahu seperti ketika pandemik berlaku, kali ini kita telah lihat seperti ada peningkatan inflasi yang tidak terkawal di samping kegiatan ekonomi yang belum rancak untuk menampung inflasi tersebut.

"Ini mungkin disebabkan wang helikopter atau mencetak wang ketika COVID-19, jadi kita cuba untuk melihat kemungkinan-kemungkinan langkah yang dibuat kerajaan negeri apabila masanya tiba atau sebelum masanya tiba (kelembapan ekonomi)," katanya.

Media Baharu