fb fb fb fb fb

Simpanan KWSP perlu dikekalkan kecuali keadaan benar-benar mendesak

ALOR SETAR, 19 Mac- Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disaran membuat pertimbangan sewajarnya dan bijaksana sebelum mengeluarkan wang simpanan mereka.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berpendapat, simpanan tersebut perlu dikekalkan untuk kegunaan dan jaminan masa depan melainkan keadaan benar-benar mendesak.

"Ia bagi mengelak sebarang kesulitan dan risiko yang bakal dihadapi kelak sekiranya mereka tersalah membuat keputusan.

Bagaimanapun, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membenarkan pengeluaran RM10,000 wang KWSP dibuat selepas melihat segelintir rakyat terjejas pendapatan dan amat memerlukan sumber kewangan bagi menampung keperluan hidup," katanya kepada RTM di sini.

(Penganalisis ekonomi UUM, Dr. Kamarul Azman Khamis)

Tambah beliau, suasana ekonomi negara kini telah menunjukkan perkembangan yang positif dan banyak kelonggaran telah diumumkan kerajaan untuk merancakkan kembali aktiviti ekonomi yang sebelum ini agak suram.

Ia sekaligus membolehkan orang ramai khususnya mereka yang hilang sumber pendapatan merencana dan meningkatkan semula kedudukan ekonomi keluarga masing-masing.

"Kita kena ingat simpanan KWSP ni khusus untuk kegunaan masa depan, tetapi pada hari ini dengan suasana pandemik COVID-19, kerajaan juga merasakan perlunya untuk membantu rakyat.

Pengeluaran simpanan KWSP ni sepatutnya untuk kegunaan yang baik, perlu berbelanja dengan berhemah, bertimbang rasa dan jangan ikut nafsu semata-mata," katanya lagi.

Pada masa sama Dr Kamarul Azman berharap KWSP dapat mempermudah syarat-syarat permohonan pengeluaran wang tersebut.

16 Mac lalu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan membuat keputusan membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

Sebelum ini kerajaan membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 billion melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu.

Media Baharu