fb fb fb fb fb

Siling runtuh, peniaga dinasihat jangan gantung barang

(Rahmad Mariman)

AYER KEROH, 12 Disember- Struktur siling kapur yang tidak kuat ditambah lagi dengan kebocoran halus yang dikesan di aras lantai atas dan tindakan peniaga yang menggantung barangan niaga di siling dikenal pasti antara punca siling di Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan, Melaka runtuh malam tadi.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Kira-kira 10 lot kedai yang terlibat dengan runtuhan itu ditutup sementara waktu untuk kerja-kerja membersih dan membaiki siling, manakala lot kedai yang lain dibenarkan beroperasi seperti biasa.

"Siling di empat gerai telah roboh, manakala siling di lima hingga enam gerai yang lain juga dijangkakan akan roboh nanti.

"Siling terbabit tidak boleh kena air dan struktur tidak berapa kukuh untuk menampung bebanan sebab ia diperbuat daripada kapur dan aluminium.

"Jadi janganlah gantung barang walaupun cara itu nampak menarik untuk tarikan pelanggan, tetapi kekuatan struktur siling itu bukan untuk digantung barangan," katanya dalam sidang media di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.00 malam tadi, siling di empat lot kedai bazar berkenaan secara tiba-tiba runtuh, sekali gus membimbangkan peniaga di pusat beli belah berkenaan.

(Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan)


Artikel berkaitan:
Siling runtuh, kebimbangan peniaga bazar kraftangan jadi kenyataan

Media Baharu