KUALA LUMPUR, 12 Disember - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Pengerusi Emeritus dan Pengasas Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow meninggalkan lompong yang besar kepada Public Bank, sektor perbankan, dan juga negara.
Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuskan takziah kepada keluarga mendiang atas pemergian tokoh perbankan berkenaan.
"Saya mengutuskan salam takziah buat keluarga mendiang Pengerusi Emeritus Public Bank YBhg. Tan Sri Datuk Sri Dr. Teh Hong Piow atas pemergiannya pagi tadi. Mendiang Dr. Teh adalah pengasas Public Bank yang menubuhkan bank tersebut pada tahun 1965," kata Datuk Seri Anwar.
Tambah Anwar, beliau mendoakan agar keluarga mendiang tabah atas kehilangan tokoh dalam sektor perbankan negara itu.
"Saya doakan keluarga mendiang Dr. Teh tabah dan kuat atas kehilangannya," katanya.
Mendiang Tan Sri Teh menghembuskan nafas terakhir pada usia 92 tahun, pukul 10.20 minit pagi tadi.
Beliau merupakan pengasas Public Bank, kumpulan bank ketiga terbesar di Malaysia, diasaskan pada tahun 1966.
Bank berkenaan kemudiannya membangun menjadi institusi kewangan moden dengan hampir 450 cawangan dalam dan luar negara.