PUTRAJAYA, 12 Disember - Tiga agenda utama iaitu perlindungan data peribadi, literasi digital, dan akses perkhidmatan 5G kepada rakyat menjadi keutamaan Kementerian Komunikasi dan Digital.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat terutama ketika trend penggunaan media sosial meningkat ketika ini.
"Literasi digital penting untuk memastikan pengguna tidak kena 'scam' atau dipengaruhi berita palsu dan menghentikan hantaran berbaur kebencian bagi mewujudkan suasana harmoni," katanya dalam sidang media selepas mengimbas kad perakam waktu tanda simbolik memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Komunikasi dan Digital, di sini.
Tambah Nie Ching, purata trend penggunaan internet dalam kalangan rakyat ketika ini meningkat melebihi tiga jam.
Dari sudut akses perkhidmatan 5G pula, jelas Nie Ching ia akan dijadikan teras utama kerana akses internet merupakan keperluan asas bagi rakyat.
Selain itu, perlindungan data peribadi juga akan ditambah baik bagi memastikan pengguna berasa selamat ketika menggunakan internet.