fb fb fb fb fb

Sikap konsisten Malaysia pertahan keamanan dunia perkukuh kedudukan antarabangsa

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin

SINTOK, 28 Jun – Pendirian tegas Malaysia dalam mempertahankan keamanan sejagat, termasuk di wilayah bergolak Asia Barat mencerminkan komitmen tinggi negara terhadap isu-isu global dan serantau.

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata peranan aktif Malaysia terutama sebagai Pengerusi ASEAN kini membuktikan negara sudah ke hadapan dalam mengangkat isu-isu antarabangsa.

Ini termasuk konflik membabitkan Israel, Iran dan Amerika Syarikat.

Katanya, ketegasan itu bukan sekadar kenyataan politik, sebaliknya mempunyai asas kukuh dari sudut kesan ekonomi kepada rantau Asia dan global sekiranya konflik berlarutan.

“Malaysia sememangnya aktif dalam pelbagai platform antarabangsa. Walaupun negara kita bukan sebuah negara besar, peningkatan hubungan ekonomi dan politik dengan kumpulan atau blok ekonomi antarabangsa meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang mempunyai beginning power.

"Ini bermakna, kita bukan sahaja boleh menyuarakan pandangan, malah mempunyai hak untuk menyatakan pendirian dalam isu-isu strategik di peringkat global, termasuk konflik yang sedang berlaku ketika ini," katanya ketika ditemui RTM baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata keberanian Malaysia menyatakan pendirian dalam isu kemanusiaan dan keamanan global turut membuka mata banyak negara untuk menjadikan Malaysia sebagai rakan dagangan strategik, khususnya dalam sektor pelaburan.

“Komitmen kerajaan dalam isu-isu antarabangsa adalah satu manifestasi (bukan retorik) yang nyata. Apabila Malaysia menunjukkan ketegasan serta mempunyai keupayaan mengawal kestabilan politik dan memperkukuh asas-asas ekonominya, sudah pasti ia akan meningkatkan keyakinan para pelabur terhadap negara," katanya.

Malaysia sebelum ini lantang menyuarakan bantahan terhadap keganasan di Gaza dan menyokong penyelesaian secara aman terhadap konflik antarabangsa menerusi pendekatan dialog, undang-undang antarabangsa dan prinsip keadilan sejagat.

GRACE AISYAH KEDAYAN