TUMPAT, 28 Jun - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersedia membantu menampung sebahagian kos penganjuran program seni, budaya dan warisan menerusi inisiatif Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK).
Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, geran tersebut diwujudkan bagi menghargai komitmen serta sokongan berterusan persatuan seni dan warisan dalam menjaya kan pelbagai aktiviti kebudayaan di seluruh negara.
Beliau berkata, setiap permohonan tertakluk kepada penilaian serta kelulusan oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan MOTAC.
“Kita ada geran yang dipanggil GSSK. Geran ini diberikan kepada program-program kebudayaan yang dilaksanakan di negara ini, dan kita sentiasa menyokongnya dengan memberi sedikit bantuan dari segi kewangan,” katanya selepas merasmikan Festival Citrawarna Siam Malaysia Negeri Kelantan 2025 di Wat Machimmaram, di sini malam tadi.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar persatuan seni, budaya dan warisan tidak berputus asa dalam membantu kementerian menyebarluaskan agenda seni budaya seperti yang digariskan dalam Teras Dasar Kebudayaan Negara.
Oleh itu katanya, Festival Citrawarna Siam Malaysia wajar dijadikan acara tahunan kerana ia memelihara serta mempromosikan kebudayaan etnik minoriti yang menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia.
“Festival ini bukan sahaja menonjolkan budaya masyarakat Siam, malah merupakan produk pelancongan yang berpotensi menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Kempen kesedaran penipuan pakej haji dan umrah
Dalam perkembangan lain, Shaharuddin berkata, MOTAC akan mempergiatkan kempen kesedaran mengenai penipuan pakej haji dan umrah yang semakin membimbangkan.
Katanya, usaha itu dilaksanakan bersama Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memastikan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu.
“Kita tidak teragak-agak membatalkan atau menggantung lesen syarikat pelancongan yang terlibat. Tindakan sudah diambil terhadap beberapa syarikat sebelum ini,” katanya.
MOTAC turut mengingatkan orang ramai agar hanya berurusan dengan agensi pelancongan yang sah berdaftar dan disahkan oleh pihak berkuasa.