SUNGAI PETANI, 28 Jun - 150 kenderaan klasik 'Volkswagen' pelbagai model dipamerkan kepada orang ramai sempena World Wide VW Beetle Day 2025 di Tokzul Food Garage, di sini pada Jumaat.
Penasihat program, Datuk Dr Zulkifly Mohamad berkata, kebanyakan pemilik kenderaan tersebut terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa datang dari wilayah Utara iaitu Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Kedah.
Beliau berkata program itu bertujuan mengeratkan hubungan persaudaraan dalam kalangan pemilik kenderaan antik sambil menikmati buah durian.
"Program ini memberi peluang kepada orang ramai untuk menelusuri sejarah dan melihat secara lebih dekat kenderaan buatan Jerman yang pernah menjadi pengangkutan utama pada era 1950-an hingga 1980-an," katanya ketika ditemui RTM.
Antara model yang dipamerkan termasuk 'Kombi', 'Westfalia Camper Van', 'Transporter' serta 'Beetle' klasik dan moden.
Antara koleksi kenderaan antik yang dipamerkan di Tokzul Food Garage, Sungai Petani
Jelas Zulkifly lagi, walaupun kenderaan itu kelihatan seperti besi lama namun ia memiliki nilai tinggi di pasaran sekiranya diubah suai dan dijaga dengan baik.
"Ada pemilik yang sanggup membelanjakan puluhan hingga ratusan ribu ringgit demi memastikan kenderaan antik milik mereka terus berfungsi dan setanding dengan kenderaan moden masa kini.
"Hobi seumpama ini memerlukan perbelanjaan yang besar kerana melibatkan proses pengubahsuaian bagi meningkatkan nilai estetika kenderaan tersebut," katanya.
Selain menghadiri World Wide VW Beetle Day 2025 di Sungai Petani, Kedah pemilik kenderaan klasik 'Volkswagen' turut mengadakan konvoi ke Kelantan dan Terengganu.
World Wide VW Beetle Day merupakan acara tahunan peringkat antarabangsa yang disambut pada 22 Jun setiap tahun oleh komuniti pemilik dan peminat kenderaan Volkswagen Beetle dan model klasik lain keluaran Volkswagen.