fb fb fb fb fb

MARA-SJTU meterai MoU, perkukuh kerjasama dalam akademik

FOTO PEJABAT TPM

SHANGHAI, 5 November - Satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan Shanghai Jiao Tong University (SJTU), hari ini.

MoU itu bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) berimpak tinggi, serta sosiobudaya antara Malaysia dengan China.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata MoU itu membuka lembaran baharu dalam kerjasama pendidikan tinggi Malaysia-China.

Ia juga merupakan langkah penting dalam menyokong agenda pendidikan global MARA.

“Matlamat utama kami adalah untuk mewujudkan satu kerjasama strategik antara MARA dan SJTU dalam bidang pembangunan akademik, penyelidikan serta pembangunan kapasiti, sejajar dengan agenda pendidikan global MARA,” katanya di sini.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di kampus SJTU, Shanghai itu disaksikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.

Turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menerui perjanjian tersebut, MARA-SJTU akan bekerjasama dalam beberapa bidang strategik.

Antaranya, pertukaran kepakaran teknikal TVET bertaraf tinggi dengan integrasi kecerdasan buatan (AI), serta pertukaran kepakaran bagi memperkukuh kapasiti institusi.

Ini termasuk pelaksanaan aktiviti penyelidikan dan akademik bersama yang memfokuskan kepada inovasi, sains dan teknologi.

Untuk rekod, SJTU kini berada pada kedudukan ke-47 terbaik dunia dan ketiga di China.

SJTU yang ditubuhkan pada 1896 merupakan antara universiti tertua dan paling berprestij di China, yang diiktiraf atas kecemerlangan dalam bidang kejuruteraan, sains, perniagaan dan teknologi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM